Tuesday 23 April 2013

Tahajjud Untuk Kecerdasan Akademik anda

Pendahuluan

Buku bertajuk “Tahajjud untuk kecerdasan akademikmu” ialah hasil karya Ust. Yazid al-Busthomi, Lc. Buku terbitan DIVA Press ini mempunyai 206 halaman dan karya asalnya ialah dalam Bahasa Indoensia. Pengupas membeli buku ini di Bandung pada 12 April 2013. Buku ini dimulai dengan cerita keberhasilan Tri Wulan dan Edi Siswanto kedua-duanya mahasiswi dan mahasiswa. Tri Wulan di Jakarta, sementara Edi Siswanto di Jogjakarta. Kedua-duanya berhasil dalam akademik mereka kerana mengamalkan tahajjud secara konsisten dan komited.

Pengarang mengatakan bahwa solat tahajjud yang ditekankan dalam buku beliau ialah mengenai berkatnya atau manfaatnya bagi kecerdasan akademik bukannya solat tahajjud biasa yang dilakukan pada umumnya.

Kenali Diri

Apabila kita kenal diri sendiri, kita tidak akan menyeleweng dari tujuan asal kehidupan sebagai makhluk Allah di muka bumi ini. Kenal dengan jelas siapa kita dan siapa Tuhan kita.

Ahli Falsafah terkenal Sun Tzu dalam bukunya “The Art of War” pernah berkata: “Kenali dirimu dan kenali musuhmu, maka dalam seratus peperangan, kamu tidak akan kalah”.

Mengenali diri sendiri merupakan kunci kepada mengenal Allah Yang Maha Kuasa dan sekaligus kunci untuk membuka pintu ma’rifatullah.

Rasulullah pernah berpesan bahwa, “Barang siapa mengenal dirinya, maka pasti mengenal Tuhannya”.

Kita perlu mengetahui siapa kita bagi mendapatkan berkat daripada solat tahajjud yang kita lakukan. Renungi segala rezeki yang Allah kurniakan kepada kita dan terus bersyukur kerana pemberian Allah itu.

Mulai dari mukasurat 20 hingga 30, diceritakan mengenai zat dan proses kejadian manusia secara saintifik, yang membezakan kita dengan haiwan ialah kemampuan berfikir dan mencari jalan optimum kepada kebaikan bagi manusia sejagat.

Keyakinan Diri

Dalam Bab 3, pengarang menceritakan mengenai kehidupan dam kita mesti menerima apa yang Allah berikan kepada kita. Diceritakan tentang seorang pemuda cacat bernama Nick Vujicic. Beliau dilahirkan pada 4 Disember 1982 dengan kecacatan luar biasa iaitu tanpa kedua-dua tangan dan kaki. Pemuda kelahiran Australia itu menerima kecacatan yang ada pada dirinya dan berusaha keras untuk merubah nasib dirinya, sehingga beliau yang tanpa tangan dan kaki boleh berenang, menyikat rambut, menggosok gigi, makan dan minum sendiri. Kita yang dilahirkan sempurna tidak mampu menyaingi semangat untuk hidup yang Nick Vujicic miliki.

Dalam Surah Ibrahim ayat 7, Allah menyatakan bahwa jika kita bersyukur Allah akan tambahkan nikmat (rezeki) kepada kita, tetapi jika kita kufur, sesungguhnya azab Allah adalah amat pedih.

Syukurilah apa yang Allah berikan kepada kita dan sebarang kekurangan dalam hidup kita usahakan untuk mengatasinya dan bersikap positif dengan Allah dan Insya Allah, Allah akan memberikan kita jalan keluar yang kita tidak sangka. Berasaskan sikap rendah diri yang sepenuhnya maka tahajjud kita akan lebih berkesan.

Pada mukasurat 37 hingga 41, penulis menceritakan bagaimana keyakinan diri yang tinggi dapat merubah kehidupan seseorang. Sewaktu seorang pengemis jalanan bertemu dengan seorang peramal, si peramal terkejut kerana muka dan tarikh lahir pengemis tersebut sama betul dengan pelukis terkenal Leonardo Da Vinci. Peramal itu mengatakan sepatutnya si pengemis tidak menjadi pengemis, dia semestinya sudah menjadi kaya raya melalui bakat yang ada padanya. Pada ketika yang lain si pengemis ini bertemu pula dengan peramal yang lain dan hasilnya sama. Terfikir dalam hati si pengemis yang cacat sebelah tangan kanannya, kenapa beliau tidak percaya terhadap kedua-dua peramal tersebut. Sejak itu, demgan keyakinan yang tinggi beliau meninggalkan kerja mengemis dan fokus kepada bakat yang dikatakan ada padanya. Akhirnya beliau menjadi seorang pelukis terkenal dan kaya raya. Keyakinan diri yang tinggi dapat merubah nasib kita.

Penting kita mengenali diri dan bakat yang ada pada diri kita dan gilapkan bakat besar tersebut sehingga berjaya dalam kehidupan. Ketika Rasulullah S.A.W menerima tekanan yang terlalu hebat dalam daawahnya kepada kaum musyrikin Mekah, beliau menyelimuti dirinya kerana terlalu merasai tekanan hebat itu sehingga turunlah ayat 1 hingga 10 dalam Surah Al-Muzzammil agar beliau bersolat tahajjud bagi menghilangkan rasa takut, khuatir, cemas dan stres. Ini memberikan semangat yang kuat kepada baginda Rasulullah S.A.W untuk terus berdakwah. Ini memberikan petunjuk kepada kita agar jangan risau dan takut kepada sesiapa pun, kecuali kepada Allah dalam menjalani hidup ini. Jangan sekali-kali meratapi nasib, tetapi bangkit dan berusaha keras untuk berjaya adalah tindakan yang paling baik.

Buku karya Ust Yazid Al-Busthomi ini merupakan sebuah buku motivasi dakwah yang mesti dimiliki oleh setiap pelajar kerana nilai motivasi yang tinggi berasaskan Al-Quraan. Melalui muhasabah diri yang berterusan dan proses memperbaiki diri yang berterusan kejayaan pasti menjadi milik kita. Allah akan merubah nasib sesiapa yang berusaha merubah nasib dirinya sendiri.

Kejayaan akademik akan bersama anda jika berterusan anda menilai diri dan mengatasi segala kekurangan dan mengharap sepenuhnya kepada Allah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 23 April 2013.


No comments:

Post a Comment