Wednesday 24 April 2013

Ya Allah tiba-tiba kini saya telah tua

Buku bertajuk di atas baru saja ku beli di Tesco Nilai pada 24 April 2013 jam 6.00 petang ketika singgah sebentar sebelum pulang ke rumah dari USIM. Saya merasa buku itu menyindir saya dan teman-teman sebaya yang tidak sedar bahwa kami sudah tua rupanya. Buku karangan Jamal Ma’mur Asmani, diterbitkan oleh Diva Press, Indonesia dan terjemahannya diterbitkan oleh Al-Hidayah House of Publishers Sdn Bhd. Penterjemahnya ialah Nurul Hanim Abdullah. Buku setebal 224 mukasurat ku selusuri dengan pantas untuk mencari apa yang sebenarnya ingin disampaikan melalui buku tersebut.

Buku ini mengandungi 7 bab iaitu Indahnya Masa Muda (Bab 1), Menjadi Orang Yang Benar dan Pintar (Bab 2), Manfaatkan, Usiamu Terus Berjalan (Bab 3), Orang Besar Bercita-Cita Besar (Bab 4), Kejayaan Hidupmu Peninggalan Yang Tidak Berakhir (Bab 5), Oh, Indahnya Mati Menyebarkan Pesona (Bab 6) dan Kematian Akan Tiba (Bab 7).

Hakikat dari tajuk Bab 7 itu tidak siapa yang dapat mengelaknya. Mati itu pasti dan hidup ialah suatu pilihan. Saya tertarik untuk mengupas sedikit mengenai ungkapan pengarang yang dipinjam daripada buku Zainal Ariffin Thoha yang bertajuk, “Aku Menulis, Maka Aku Ada” yang berbunyi berikut:

Dengan menulis aku ada
Dengan menulis aku hidup
Dengan menulis aku membaca
Dengan menulis aku dibaca
Dengan menulis aku mengetahui
Dengan menulis aku diketahui
Dengan menulis aku faham
Dengan menulis aku difahami
Dengan menulis aku menghargai
Dengan menulis aku dihargai
Dengan menulis aku berubah
Dengan menulis aku mengubah
Dengan menulis aku beribadah
Dengan menulis aku berdakwah
Dengan menulis aku bersaudara
Dengan menulis aku mengabdi
Dengan menulis aku menjadi diri sendiri.

Melalui kata-kata Zainal Abidin Thoha sebenarnya aku ingin mengajak teman-temanku yang dulu pernah menjadi Yang Arif, Komander di Laut Luas, Jeneral di Medan Perang, Guru, Pensyarah, Peniaga, Politikus, Askar, Pentadbir yang terbilang, Diplomat yang tersohor dan sebagainya untuk mula menulis segala pengalaman yang ada untuk diwariskan kepada anak-anak, cucu-cucu dan masyarakat agar mereka akan menjadi pembaca yang tekun, pemikir yang teliti dan pejuang yang gigih dalam mencari ilmu.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 24 April 2013.


Tuesday 23 April 2013

Tahajjud Untuk Kecerdasan Akademik anda

Pendahuluan

Buku bertajuk “Tahajjud untuk kecerdasan akademikmu” ialah hasil karya Ust. Yazid al-Busthomi, Lc. Buku terbitan DIVA Press ini mempunyai 206 halaman dan karya asalnya ialah dalam Bahasa Indoensia. Pengupas membeli buku ini di Bandung pada 12 April 2013. Buku ini dimulai dengan cerita keberhasilan Tri Wulan dan Edi Siswanto kedua-duanya mahasiswi dan mahasiswa. Tri Wulan di Jakarta, sementara Edi Siswanto di Jogjakarta. Kedua-duanya berhasil dalam akademik mereka kerana mengamalkan tahajjud secara konsisten dan komited.

Pengarang mengatakan bahwa solat tahajjud yang ditekankan dalam buku beliau ialah mengenai berkatnya atau manfaatnya bagi kecerdasan akademik bukannya solat tahajjud biasa yang dilakukan pada umumnya.

Kenali Diri

Apabila kita kenal diri sendiri, kita tidak akan menyeleweng dari tujuan asal kehidupan sebagai makhluk Allah di muka bumi ini. Kenal dengan jelas siapa kita dan siapa Tuhan kita.

Ahli Falsafah terkenal Sun Tzu dalam bukunya “The Art of War” pernah berkata: “Kenali dirimu dan kenali musuhmu, maka dalam seratus peperangan, kamu tidak akan kalah”.

Mengenali diri sendiri merupakan kunci kepada mengenal Allah Yang Maha Kuasa dan sekaligus kunci untuk membuka pintu ma’rifatullah.

Rasulullah pernah berpesan bahwa, “Barang siapa mengenal dirinya, maka pasti mengenal Tuhannya”.

Kita perlu mengetahui siapa kita bagi mendapatkan berkat daripada solat tahajjud yang kita lakukan. Renungi segala rezeki yang Allah kurniakan kepada kita dan terus bersyukur kerana pemberian Allah itu.

Mulai dari mukasurat 20 hingga 30, diceritakan mengenai zat dan proses kejadian manusia secara saintifik, yang membezakan kita dengan haiwan ialah kemampuan berfikir dan mencari jalan optimum kepada kebaikan bagi manusia sejagat.

Keyakinan Diri

Dalam Bab 3, pengarang menceritakan mengenai kehidupan dam kita mesti menerima apa yang Allah berikan kepada kita. Diceritakan tentang seorang pemuda cacat bernama Nick Vujicic. Beliau dilahirkan pada 4 Disember 1982 dengan kecacatan luar biasa iaitu tanpa kedua-dua tangan dan kaki. Pemuda kelahiran Australia itu menerima kecacatan yang ada pada dirinya dan berusaha keras untuk merubah nasib dirinya, sehingga beliau yang tanpa tangan dan kaki boleh berenang, menyikat rambut, menggosok gigi, makan dan minum sendiri. Kita yang dilahirkan sempurna tidak mampu menyaingi semangat untuk hidup yang Nick Vujicic miliki.

Dalam Surah Ibrahim ayat 7, Allah menyatakan bahwa jika kita bersyukur Allah akan tambahkan nikmat (rezeki) kepada kita, tetapi jika kita kufur, sesungguhnya azab Allah adalah amat pedih.

Syukurilah apa yang Allah berikan kepada kita dan sebarang kekurangan dalam hidup kita usahakan untuk mengatasinya dan bersikap positif dengan Allah dan Insya Allah, Allah akan memberikan kita jalan keluar yang kita tidak sangka. Berasaskan sikap rendah diri yang sepenuhnya maka tahajjud kita akan lebih berkesan.

Pada mukasurat 37 hingga 41, penulis menceritakan bagaimana keyakinan diri yang tinggi dapat merubah kehidupan seseorang. Sewaktu seorang pengemis jalanan bertemu dengan seorang peramal, si peramal terkejut kerana muka dan tarikh lahir pengemis tersebut sama betul dengan pelukis terkenal Leonardo Da Vinci. Peramal itu mengatakan sepatutnya si pengemis tidak menjadi pengemis, dia semestinya sudah menjadi kaya raya melalui bakat yang ada padanya. Pada ketika yang lain si pengemis ini bertemu pula dengan peramal yang lain dan hasilnya sama. Terfikir dalam hati si pengemis yang cacat sebelah tangan kanannya, kenapa beliau tidak percaya terhadap kedua-dua peramal tersebut. Sejak itu, demgan keyakinan yang tinggi beliau meninggalkan kerja mengemis dan fokus kepada bakat yang dikatakan ada padanya. Akhirnya beliau menjadi seorang pelukis terkenal dan kaya raya. Keyakinan diri yang tinggi dapat merubah nasib kita.

Penting kita mengenali diri dan bakat yang ada pada diri kita dan gilapkan bakat besar tersebut sehingga berjaya dalam kehidupan. Ketika Rasulullah S.A.W menerima tekanan yang terlalu hebat dalam daawahnya kepada kaum musyrikin Mekah, beliau menyelimuti dirinya kerana terlalu merasai tekanan hebat itu sehingga turunlah ayat 1 hingga 10 dalam Surah Al-Muzzammil agar beliau bersolat tahajjud bagi menghilangkan rasa takut, khuatir, cemas dan stres. Ini memberikan semangat yang kuat kepada baginda Rasulullah S.A.W untuk terus berdakwah. Ini memberikan petunjuk kepada kita agar jangan risau dan takut kepada sesiapa pun, kecuali kepada Allah dalam menjalani hidup ini. Jangan sekali-kali meratapi nasib, tetapi bangkit dan berusaha keras untuk berjaya adalah tindakan yang paling baik.

Buku karya Ust Yazid Al-Busthomi ini merupakan sebuah buku motivasi dakwah yang mesti dimiliki oleh setiap pelajar kerana nilai motivasi yang tinggi berasaskan Al-Quraan. Melalui muhasabah diri yang berterusan dan proses memperbaiki diri yang berterusan kejayaan pasti menjadi milik kita. Allah akan merubah nasib sesiapa yang berusaha merubah nasib dirinya sendiri.

Kejayaan akademik akan bersama anda jika berterusan anda menilai diri dan mengatasi segala kekurangan dan mengharap sepenuhnya kepada Allah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 23 April 2013.


Friday 19 April 2013

Kimia Kejayaan

Buku “The Chemistry of Success” karangan Susan M. Lark dan James A. Richards menggariskan enam (6) petua bagi Kimia Kejayaan. 1. Keseimbangan asid dan alkali dalam badan. 2. Sistem penghadaman badan 3. Keupayaan mendetoks diri 4. Aras oksigen dalam badan 5. Pengurusan tekanan (stress) 6. Hormon seks

Buku yang setebal 754 halaman ini telah diterbitkan oleh Bay Books pada tahun 2000 di San Francisco, Amerika. Susan dan James melalui buku ini, ingin mengemukakan satu pertanyaan;

“Why do many highly successful people have abundant energy and the determination and focus to succeed while sometimes ignoring many of the rules of good health? Might these individuals have a chemical makeup that differs substantially from that of the rest of the population? Is there in fact a “chemistry of success”, and if so, can it be restored in individuals who have lost it or created in those who never possessed it?”.

Terjemahan bebas dapat dinyatakan sebagai; Kenapa ramai daripada orang-orang yang berjaya mempunyai tenaga yang banyak dan kemahuan dan fokus kepada kejayaan, kadang-kadang melupakan banyak peraturan bagi kesihatan yang baik? Barangkali orang-orang ini mempunyai binaan kimia yang membezakan secara jelas daripada penduduk yang lain? Apakah ada yang disebut sebagai “Kimia Kejayaan”, dan jika ada bolehkah ianya dimasukkan kepada orang-orang yang kehilangannya itu atau dicipta bagi yang belum memilikinya.

Susan seorang doctor dan James seorang usahawan menjangkakan terdapat apa yang disebut sebagai Kimia Kejayaan dalam diri mereka yang sukses. Mereka memerhatikan ahli politik, pemain tenis, pemain bolasepak dan ramai lagi yang terlibat dalam kerjaya yang meletihkan mempunyai banyak tenaga dan tidak kelihatan penat sedikit pun. Mereka juga jarang jatuh sakit yang teruk. Mereka sukses dalam kerjaya masing-masing pada peringkat tertinggi.

Dalam kajian mereka (Susan dan James), tidak disebut dengan jelas bahwa kesihatan merupakan faktor utama kejayaan. Hampir semua buku mengatakan sikap positif merupakan faktor utama kejayaan, namun tidak jelas apakah faktorsebenar kejayaan orang yang berada di puncak kejayaan itu. Apa yang dapat mereka perhatikan ialah manusia-manusia jenis ini mempunyai tenaga dan stamina yang tidak terbatas.

Susan sebagai seorang doctor perubatan mendapati ada semacam ketidakstabilan kimia pada diri pesakitnya sehingga mereka selalu mengadu sakit ini dan itu yang berkaitan dengan organ luaran dan dalaman pesakitnya. Sementara James sebagai seorang ahli perniagaan banyak memerhatikan tingkahlaku manusia yang dia temui dalam bidang perniagaan dan politik. Susan merumuskan adanya suatu hukum yang beliau namakan sebagai Hukum Pengurangan Harapan (The Law of Diminishing Expectation) apabila penyakit pesakit beliau bertambah teruk dari hari ke hari.

Akhirnya mereka membuat kesimpulan bahwa terdapat enam (6) factor kimia yang diperlukan bagi kesuksesan seseorang yang berada di puncak kejayaan. Setiap orang yang ingin Berjaya dan berada di puncak kejayaan mestilah melakukan perkara-perkara berikut: 1. Mengawal keseimbangan asid dan alkali dalam badan. 2. Menghasilkan enzim penghadaman. 3. Mendetoksidkan segala kimia toksid dalam badan. 4. Menambah aliran oksigen kepada tisu dan sel. 5. Menetralkan semua ketidakstabilan kimia dalam badan akibat stress. 6. Menghasilkan hormone seks

Selagi keenam-enam factor diatas berkerja dalam keadaan yang maksimum, maka tenaga dan stamina yang maksima akan tercapai dalam diri seseorang individu.

Itu hasil kajian dan penelitian Susan dan James melalui kerjaya masing-masing. Buku yang setebal 754 halaman itu memperincikan secara jelas dan terang dengan kajian–kajian kes mereka bagi menyokong dakwaan mereka itu.

Aku melihat senarai diatas dengan kagum kerana mereka membuat kajian mendalam dan mengambil masa bertahun-tahun untuk menerbitkan buku yang tebal itu. Faktor 1 dan 2 berkaitan dengan makanan dan Nabi Muhammad SAW menyatakan dalam hadithnya bahwa segala penyakit berasal dari perut. Menjaga apa yang kita makan sangat penting, terutama memakan makanan yang halal lagi baik.

Faktor 3 dan 4 melalui senaman, Nabi mencadangkan berenang dan berkuda sebagai senaman, tetapi apa saja bentuk senaman yang dapat mengeluarkan peluh (detoks) dikira memadai. Senaman juga sekaligus memasukkan oksigen ke dalam badan dan dengan itu menambah kemasukan oksigen bagi kesihatan tisu dan sel dalam badan. Factor 5 melalui solat, puasa dan lain-lain ibadah yang kita kerja dengan lkhlas dan factor keenam ada panduan dalam Islam sehingga Islam membenarkan kaum Muslimin mempunyai isteri lebih dari satu bagi menguruskan masalah seks.

Islam telah menyediakan segala-galanya, tetapi apakah kita mengamalkan sepenuhnya panduan Al-Quraan dan Hadith bagi menjaga kesihatan rohani dan jasmani. Kita fikir dan bertindaklah sesuai dengan panduan agama kita agar kejayaan dapat kita capai dan pertahankan secara lestari.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 April 2013